TELUK INTAN - Wartawan veteran yang terkenal dengan tulisan jawinya ketika mengambil nota untuk berita di negeri ini meninggal dunia pada jam 8.30 pagi tadi akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Allahyarham Abu Bakar Sidek Hashim, 77, menghembus nafas terakhirnya di Hospital Teluk Intan dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam At-Taqwa, Kampung Padang Tembak, Teluk Intan kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Allahyarham yang sudah berkhidmat sebagai wartawan hampir 57 tahun meninggalkan isteri, Fatimah Sahat, 68, dan lima anak berusia 32 hingga 46 tahun.

Menurut anaknya, Fadzlina, 34, arwah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan petang semalam selepas ditemui dalam keadaan lemah di dalam bilik air di rumah mereka di Jalan Padang Tembak di sini.

“Saya masih lagi terkejut dengan berita ini kerana kali terakhir bertemunya adalah Jumaat lalu ketika pulang ke rumah dan keadaannya baik-baik sahaja walaupun ada masanya dia sakit dan keluar masuk hospital.

“Lebih menyedihkan apabila dua kakak dan seorang abang saya mungkin tidak sempat menatap wajah arwah untuk kali terakhir kerana berada di luar negara termasuk abang yang baharu sahaja selesai menunaikan ibadah haji di Makkah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Allahyarham memulakan kerjayanya dalam bidang kewartawanan pada 1 Mac 1961 sebagai wartawan Berita Harian di Lenggong Perak sebelum menjadi pemberita tetap Utusan Malaysia Kuala Kangsar beberapa tahun kemudian.

Beliau kemudiannya ditukarkan ke Kuala Lumpur dan kembali ke Teluk Intan menjadi Ketua Biro Utusan Perak Selatan sehingga berpencen pada tahun 1996 sebelum meneruskan kerjaya sebagai wartawan sambilan di Berita Harian dan Harian Metro.