IPOH - Kerajaan Perak merancang membentangkan usul berhubung cadangan mewujudkan sebuah Perbadanan Stadium di negeri ini pada sidang Dun, awal tahun hadapan.

Exco Sukan, Howard Lee Chuan Chow berkata, sekiranya usul berkenaan diluluskan, perbadanan berkenaan dijangka akan mula beroperasi mulai 2019.

"Kita akan buat pembentangan pada persidangan dewan yang pertama tahun hadapan dan sekiranya diluluskan kita akan bentuk pula  satu jawatankuasa.

"Perbadanan ini akan memberi banyak manfaat pada masa hadapan," katanya pada sidang media sempena Persidangan Ekonomi Sukan Sempena SUKMA XIX 2018 di Dewan Bankuet, di sini, hari ini.

Menurutnya, kewujudan perbadanan berkenaan dilihat bakal membantu menyelaras serta menyeimbangkan fasiliti sukan sedia ada.

"Impaknya kita dah boleh lihat sekarang. Sempena Sukan Malaysia (Sukma), Perak 2018, hotel kita penuh. Itu baru atlet, belum ibu bapa dan lain-lain.

"Daripada segi penginapan, makanan impaknya dapat disaksikan sekarang," katanya