IPOH - Perak sekali lagi menganjurkan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) kelima dengan tema ‘Securing The Future’ bagi meneruskan kesinambungan gagasan dunia masa hadapan yang diimpikan.

Naib Cancelor Universiti Sultan Azlan Shah (Usas), Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata, persidangan bertaraf dunia menampilkan lebih 20 tokoh antarabangsa dan tempatan selama tiga hari berlangsung bermula Isnin ini.

“Kita menjemput pelbagai tokoh hadir antaranya tokoh ekonomi, Pengarah Institut Wahid, Ibu Yenny Wahid (anak perempuan bekas Presiden Indonesia, Gus Dur) dan Ketua Pengarah Institut Latihan dan Penyelidikan Islam, Bank Pembangunan Islamik Jeddah, Prof Datuk Dr Mohd Azmi Omar.

“Bagi tema kebudayaan dan hubungan agama, kita menjemput Prof Dr John Louis Esposito dan Prof Dr Ibrahim Mohamed Zain dari Qatar. Isu ini bukan bercakap mengenai idea tapi langkah yang boleh diambil memastikan hubungan antara agama terus harmoni,” katanya dalam sidang media di Radio Malaysia Perak FM di Kompleks Penyiaran Sultan Nazrin Muizzudin Shah di sini, semalam.

Menurutnya, tokoh tempatan yang turut mengambil bahagian adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang menggantikan ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nordin berkata, WCIT buat pertama kali menampilkan tema kesenian selain membincangkan mengenai ekonomi, alam sekitar, kepimpinan dan hubungan antara agama.

“Format persidangan kali ini menampilkan sesi forum, pembentangan khas melibatkan pemain utama industri, sesi paralel bagi pembentangan kertas akademik serta persembahan seni dari para penggiat seni tanah air dan antarabangsa.

“Bagaimanapun, kita sangat menantikan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin sekaligus berkenan merasmikan WCIT pada hari kedua di Pusat Konvensyen Amanjaya, Meru Raya itu nanti,” katanya.

Katanya, pihaknya turut menganjurkan Majlis Makan Malam Amal untuk diwakafkan kepada Usas yang diserikan keberangkatan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

“Mereka yang ingin sertai majlis makan malam sambil beramal boleh menghubungi sekretariat dan sehingga semalam terdapat 600 peserta dan ia masih dibuka kepada semua.

“Pendaftaran boleh dilakukan secara online www.wcit.my atau mendaftar pada hari berkenaan dengan setiap kerusi berharga RM300 atau RM150 seorang bagi kumpulan 10 orang,” katanya.

Nordin berkata, WCIT yang dianjurkan sejak 2012 berjaya mengembalikan sebagai juara dalam bidang akademik dan pemikiran dengan terkumpulnya tokoh-tokoh besar dalam persidangan ini.