KAMPUNG GAJAH - Daerah Perak Tengah berpotensi menjadi hab baharu pengeluaran durian jika masyarakat setempat memberikan sokongan padu ke arah itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kajian terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan hasrat berkenaan dapat dicapai.

Menurutnya, Daerah Perak Tengah terutama Kampung Gajah memang sudah terkenal dengan buah durian namun ia tidak dipopularkan secara lebih mendalam.

"Kampung Gajah memang sudah ada nama namun kita tidak mengeksploitasi nama itu. Di sini kita ada durian Paduka yang hanya ada di Kampung Gajah sahaja.

"Namun begitu, kajian secara terperinci harus dilakukan dahulu termasuk keluasan tanah dan jumlah pokok yang ada sebelum boleh dijadikan hab baharu pengeluaran durian,"katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran Program Pemulihan Dusun Durian Daerah Perak Tengah di Kampung Pulau Tiga Kiri, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali; Adun Kampung Gajah, Datuk Abdullah Fauzi Ahmad Razali dan Pengarah Pertanian Perak, Noorazmi Yahya.

Tajuddin berkata, sikap masyarakat terutama pemilik kebun harus diubah supaya mereka sedar tanaman durian boleh menghasilkan pendapatan lumayan.

"Sikap pemilik dusun kena ubah, kena bercita-cita tinggi untuk mendapat kejayaan yang lebih baik.

"Mereka perlu tahu, jual durian bukan sekadar boleh meraih pendapatan lumayan tapi boleh menjadi jutawan,"katanya.

Katanya, durian boleh menjadi sumber kekayaan baru jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

"Program ini juga diadakan bagi memperhebatkan lagi gerak kerja memulihkan semula dusun yang rosak akibat banjir besar dulu supaya pemilik dusun boleh meraih kembali hasil mereka.

"Kita memang menyeru kepada orang ramai agar menanam durian kerana permintaan tinggi dan harganya juga mahal. Ini ditambah kawasan Kampung Gajah memang sesuai untuk tanaman durian,"katanya.

Terdapat seramai 3,800 penanam durian dengan keluasan 2,300 hektar di seluruh Perak dan daripada jumlah itu seramai 427 pekebun dengan keluasan 450 hektar datang dari Perak Tengah.