IPOH - Kerajaan negeri menyatakan permohonan maaf atas isu venue penginapan membabitkan atlet badminton Sukan Malaysia (Sukma) kontinjen Pulau Pinang di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh.

Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, sekolah berkenaan terpilih bagi penginapan atlet lelaki  sukan kriket, tenpin boling dan sebahagiannya badminton selepas penarikan diri Kolej Vokasional Ipoh.

Bagaimanapun menurutnya, atlet badminton dari kontinjen Pulau Pinang yang telah mendaftar masuk ke penginapan itu menyatakan rasa tidak puas hati dengan persekitaran yang tidak kondusif.

"Laporan awal kita terima bahawa masalah yang ada di situ tidak kritikal, namun selepas diteliti kemudahan peralatan seperti almari, kipas dan bilik yang rosak tidak diselenggara dengan baik.

"Kita akui kesilapan ini kerana kita hanya melihat sebahagian dan bukan keseluruhan, selaku penganjur kita menyatakan permohonan maaf dan telah pun mengambil langkah penyelesaian bagi menangani isu ini," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, venue penginapan itu telah ditutup dan atlet-atlet terlibat akan dipindahkan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Tapah berkongsi penginapan dengan atlet angkat berat.

Katanya, selain jarak yang tidak terlalu jauh mengambil masa sekitar 40 minit perjalanan, keadaan di situ lebih kondusif dan sesuai didiami atlet Sukma kali ini.

"Saya telah pun maklumkan perkara ini kepada Ketua Kontinjen Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus dan beliau memahami situasi yang berlaku, kami akan lakukan perbincangan esok bagi mencari penyelesaian terbaik memandangkan ada sebahagiannya telah pun mendaftar di hotel dan homestay.

"Bagi atlet yang belum tiba seperti dari Negeri Sembilan dan Kedah yang menghadapi masalah sama, mereka akan dimasukkan terus ke venue baru," katanya.

Howard berkata, kerajaan negeri akan melakukan rundingan secara terus dengan pihak terlibat agar penyelesaian menang-menang dicapai.

"Kita tak mahu timbul perkara-perkara yang boleh memberi imej buruk kepada kerajaan negeri dan penganjuran Sukma secara keseluruhannya," katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris, hari ini melaporkan atlet badminton lelaki  dari Pulau Pinang dan Kedah telah keluar daripada tempat penginapan mereka di Sekolah Izzuddin Shah selepas tidak berpuas hati dengan kemudahan serta keadaan persekitaran yang disediakan penganjur.