TAIPING – Kerajaan Perak sentiasa memastikan kesemua agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Perhutanan memberi perhatian terhadap aktiviti penebangan hutan paya bakau di Perak supaya terkawal dan tidak menjejaskan ekosistem.

Exco Pendidikan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Perak Dr Abdul Aziz Bari berkata, penekanan itu diberikan susulan pihaknya mendapati kebanyakan hutan di Malaysia kini ditebang secara berleluasa sehingga berupaya menjejaskan alam sekitar.

Justeru, beliau menegaskan penganjuran lebih banyak program pendidikan kesedaran kepada orang ramai amat penting demi memastikan sumber alam dapat diurus dengan baik di samping memberikan impak positif kepada pendapatan kerajaan.

“Penganjuran program kesedaran pemulihan hutan paya bakau hari ini cukup baik kerana menimbulkan kesedaran kepada golongan muda terhadap peri penting menjaga kestabilan ekosistem hutan kita.

“Pada masa sama, saya turut dapati sumbar alam sekitar di Hutan Pusat Eco Pelajaran, Hutan Paya Laut Matang di Kuala Sepetang, di sini diurus dengan baik dan mematuhi peraturan supaya penebangan hutan terkawal dalam kuantiti yang dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan program Mangrove Eco Restoration dengan Majlis Perwakilan Mahasiswa Perak (MPMP) di Pusat Eco Pelajaran, Hutan Paya Laut Matang di Kuala Sepetang di sini, hari ini.

Aziz berkata, ramai tidak menyedari hutan paya laut ini juga dapat menjana pendapatan kepada kerajaan negeri jika penebangannya dapat dikawal dan pihaknya turut berharap rakyat dapat bekerjasama dalam memastikan alam sekitar terpelihara.

“Kita juga hendaklah memastikan penggunaan kayu di sini dapat dipantau selain meningkatkan kesedaran supaya rakyat tidak membuang sampah dengan sewenang-wenangnya kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar.

“Kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan kepada sebarang program yang dapat memupuk kesedaran terhadap alam sekitar dan saya berharap lebih banyak pihak tampil menganjurkan program kesedaran demi kelestarian sumber alam di negeri ini,” katanya.