IPOH - Amanah Perak menyifatkan tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin tidak sensitif.

Naib Pengerusinya, Dr Muhaimin Sulam berkata, penggunaan bahasa kebangsaan oleh menteri Kabinet dalam sebarang kenyataan bukan sekadar suatu kewajaran berbahasa tetapi satu tanggungjawab nasional.

“Kenyataan rasmi Menteri Kewangan Malaysia di dalam Bahasa Mandarin suatu tindakan perkauman dan tidak peka sensitiviti negara bangsa yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan.

“Jawatan Menteri Kewangan adalah jawatan negara. Suara dan jawatan Setiausaha Agung DAP sewajibnya seiringan dengan semangat dan falsafah kerajaan semasa yang dianggotainya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Guan Eng mempertahankan tindakan mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai menteri kewangan dalam bahasa Mandarin.

Terdahulu, tindakan itu turut menerima kritikan pelbagai pihak termasuklah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.