• Peneroka mahu segerakan tanam semula getah Abdul Rauf menunjukkan pokok setinggi hampir dua meter.
  • Peneroka mahu segerakan tanam semula getah Kawasan yang telah dibersihkan untuk tujuan penanaman semula oleh pihak Felda dan kini semuanya diuruskan oleh peserta skim berkenaan.
1 /

GERIK – Bimbang menanggung hutang berterusan, peneroka Felda di tiga kawasan, di sini menuntut agar pihak pengurusan menyegerakan proses tanam semula getah yang tertangguh hampir lima tahun.

Projek di bawah Skim Tanam Semula di Felda Lawin Utara, Lawin Selatan dan Felda Papulut itu dijadualkan bermula pada 2009, namun sehingga kini belum ada tanda-tanda ia akan bermula.

Keadaan itu menyebabkan hampir 440 peserta terpaksa berputih mata melihat tanah masing-masing terbiar dan ditumbuhi tumbuhan liar meskipun proses pembersihan telah dilakukan sebelum ini.

Wakil kumpulan, Abdul Raof Abd Razak, 57, berkata, kerja tanam semula sepatutnya diselenggara di bawah Felda setelah peserta bersetuju melakukan serahan pengurusan bagi 10 ekar tanah setiap peneroka.

Menurutnya, berdasarkan perjanjian, peruntukan tempoh bagi tanaman semula getah di kawasan itu mengambil masa antara 80 hingga 84 bulan (7 tahun) setelah proses penebangan pokok dan kerja pembersihan dilakukan.

Dalam tempoh itu, Felda mengenakan hutang dalam bentuk wang saraan berjumlah RM15,600 setahun yang dibayar kepada setiap peserta RM1,300 sebulan.

“Bagaimanapun, sudah masuk tahun kelima, belum nampak akan ada proses tanaman semula dibuat, tanah yang dahulunya kosong sudah mula ditumbuhi tanaman liar lain.

“Jika ini berlarutan, bagaimana kita mahu mendapatkan hasil dan membayar semula hutang pengurusan, tak kan selamanya kita mahu bergantung kepada wang RM1,300 yang diberikan Felda,” katanya.

Lokasi kebun getah seluas hampir 1,760 hektar itu sebelum ini berjaya memberi pulangan pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan sejak ia mula diteroka pada 1987.

Bagaimanapun, menyedari hasil getah semakin berkurang atas faktor usia pokok, semua peserta bersetuju untuk menyerahkan pengurusan Skim Tanam Semula yang diperuntukkan Risda kepada Felda.

Abdul Raof berkata, mereka sama sekali tidak menyangka, proses tanam semula kali pertama ini akan mengambil masa lama untuk diselenggarakan.

Menurutnya, aduan dan perbincangan dengan pengurusan pernah diadakan sebelum ini, namun belum apa-apa impak terhadap pelaksanaan projek itu.


Ambil langkah tanam sendiri

Bosan dengan jawapan sama yang diberikan, Abu Hassan Khalib, 64, berkata, ada yang mengambil langkah awal melakukan sendiri proses tanaman semula getah di kebun masing-masing.

Langkah itu katanya, bagi memastikan tanah yang sudah menjadi hak pemilikan tetap mereka sejak menerima geran pada 2010 lalu tidak terus terbiar.

Menurutnya, meskipun terpaksa menanggung beberapa kos termasuk upah pekerja bagi tujuan membersih dan menanam anak pokok, hampir 15 peserta terpaksa nekad kerana tidak mahu menanggung risiko tanam terbiar.

“Kalau nak harap kepada RM1,300 yang diberikan Felda, saya kira ia tidak mencukupi, selain menanggung hutang, ramai juga kalangan peserta membuat pinjaman lain bagi tujuan pembiayaan rumah dan sebagainya dan itu juga perlu dibayar,” katanya.

Bagaimanapun Abu Hassan tidak menafikan, rata-rata peserta yang dikategorikan sudah berusia, sudah tidak mampu lagi mengerjakan kebun masing-masing dan hanya bergantung kepada wang pemberian Felda.

Tinjauan ke beberapa lot tanah mendapati, anak pokok getah yang ditanam sendiri oleh beberapa peserta sejak lebih setahun lalu sudah mula tumbuh mencecah hampir dua meter.

Anak benih yang diperoleh daripada pengurusan Felda itu kelihatan ditanam secara teratur dengan beberapa bantuan pekerja sendiri yang dibayar antara RM20 hingga RM30 sehari.

Sekiranya projek tanaman semula getah di kawasan itu berjaya, dianggarkan setiap peserta mampu meraih pendapatan sehingga RM7,000 sebulan dengan keupayaan 2,000 pokok ditanam di setiap kebun.

Mohd Yusof Yacob, 62, yang sudah memulakan proses tanaman sendiri mengakui, agak ralat kerana terpaksa menanggung segala urusan penyelenggaraan kebunnya sendiri.

Dia sebelum ini pernah menuntut agar kos penyelenggaraan yang berada di bawah pengurusan Felda diserahkan kepada peserta bagi memudahkan mereka mengurus, namun tidak berjaya.

“Memanglah kita ada terima wang saraan setiap bulan tapi adakah ia mencukupi? Barang-barang sekarang semuanya mahal-mahal ditambah pula dengan kos membersih, meracun dan menanam yang ditanggung sendiri.

“Nak tunggu hasil dalam masa terdekat memang agak mustahil, paling kurang perlu tunggu tujuh tahun lagi,” katanya.


Projek tidak boleh gagal

Pengerusi Lanjah Tanah dan Kemajuan Wilayah Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tempoh tujuh tahun yang diberikan bagi projek tanaman semula itu tidak mustahil akan berlarutan berikutan ia masih belum dilaksanakan.

Menurutnya, dengan faktor usia rata-rata peneroka antara 40 hingga 70 tahun, tidak mustahil, hutang yang ditanggung sukar untuk dilangsaikan.

“Boleh jadi mereka terpaksa menanggung hutang sepanjang hidup, ini yang kita khuatir, sewajarnya pengurusan yang diatur tidak mendatangkan bebanan kepada peneroka, namun apa yang berlaku sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan apa sekalipun, projek tanaman semula perlu diteruskan dan disegerakan bagi menjamin masa depan keluarga peneroka.

Kata beliau, meskipun terdapat usaha  membuat tanaman secara sendiri, namun ia dilakukan secara tidak menyeluruh.

“Mahu atau tidak projek ini tidak boleh gagal, cuma kita harap pengurusan dapat mencari punca ia dapat disegerakan untuk mengembalikan hak dan kepentingan peneroka,” katanya.