KAMUNTING - Kejadian pencerobohan Sungai Sepetang yang berlaku beberapa minggu memberi kesan buruk terhadap ekonomi penduduk setempat khususnya nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil sungai.

Ketua Komuniti Nelayan Kampung Dew, Yussof Ishak berkata, selepas beberapa kali kejadian berlaku pencerobohan di kawasan ini, tidak dinafikan sumber pendapatan penduduk semakin terjejas.

Menurutnya, masalah tersebut bukan hanya menyebabkan pokok-pokok utama di kawasan pesisir sungai musnah tetapi hidupan di dalam sungai seperti ikan dan udang galah juga berkurangan.

“Sebentar tadi kita dapat lihat seorang nelayan memancing udang galah sejak jam 2 hingga 4 petang hanya mendapat seekor udang sahaja.

“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa masalah itu amat serius kerana di sini tempat kami mencari rezeki menampung keluarga,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan lawatan ke lokasi pencerobohan di sini, kelmarin.

Yussof berkata, ketika ini bukan sahaja kelip-kelip berkurangan tetapi hasil sungai juga berdepan risiko sama.

“Jika masalah ini berterusan bagaimana dengan kehidupan penduduk selepas ini kerana hilangnya mata pencarian,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Dew, Shukor Ishak berkata, pada tahun ini pihaknya menyasarkan seramai 20,000 pelancong dari dalam dan luar negara akan berkunjung ke Kampung Dew.

“Namun dengan senario yang berlaku sekarang untuk mencapai jumlah tersebut, ia mungkin sesuatu yang agak mustahil.

“Selepas apa yang berlaku, jumlah kelip-kelip pasti akan berkurangan dan jumlah kehadiran pengunjung juga turut merosot,” katanya.

Menurutnya, di kawasan ini lebih 100 nelayan mencari rezeki dan sehingga kini seramai 20 pemandu bot dan pemandu pelancong berlesen juga menjadikan sungai ini tempat mencari pendapatan tambahan.

“Namun dengan masalah yang berlaku, sudah pasti sumber pendapatan mereka turut terjejas,” katanya.

Katanya, dua tahun lalu, pihaknya menerima kira-kira 16,000 pelancong dari dalam dan luar negara.

“Namun pada tahun lalu, jumlahnya mulai merosot iaitu hanya kepada 9,000 pengunjung,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BACHOK - Lima buah bot nelayan tempatan zon A ditahan sepasukan anggota Penguatkuasa Jabatan Perikanan Negeri Kelantan di perairan daerah Bachok dan Pasir Puteh berikutan melanggar syarat lesen dan berada di luar had kawasan yang ditetapkan.
  • KUALA TERENGGANU - Padah menceroboh perairan negeri dan menunda ikan di zon yang tidak dibenarkan, dua bot dan 12 nelayan asing ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, awal pagi semalam.
  • KOTA KINABALU - Sembilan nelayan warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah memasuki dan melakukan aktiviti perikanan di kawasan perairan Malaysia secara haram pada Ogos lalu.
  • KUALA TERENGGANU - Pengawalan sistem penangkapan ikan yang lemah sehingga menyebabkan kepupusan benih-benih ikan daripada terus membiak di negara mereka menjadi antara penyebab nelayan Vietnam semakin berani menceroboh perairan negara.
  • PENDANG - Seramai 157 anggota dari 18 agensi terlibat dalam Operasi Pugar yang melibatkan tiga zon di sekitar Hutan Simpan Bukit Perak iaitu Zon A, B dan C.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.