IPOH - Penantian yang amat berbaloi selepas beratur panjang bagi memasuki Movie Animation Park Studios (Maps) buat Mohd Maarof Mohd Zakaria, 36 apabila membawa pulang sebuah Proton Iriz 1.6 hasil cabutan bertuah khas sempena sambutan kemerdekaan baru-baru ini.

Ketika ditemui, Mohd Maarof  yang juga seorang guru berkata, dia tidak pernah menyangka malam itu menjadikan detik bermakna dalam dirinya kerana terpilih memenangi hadiah kereta bernilai RM42,000 berkenaan.

"Ini kali pertama saya ke Maps. Saya beratur panjang dekat enam jam untuk masuk ke taman tema animasi.

“Saya juga sengaja tunggu sampai detik malam ini untuk menanti acara cabutan bertuah, manalah tau kalau-kalau nama saya terpilih.

“Apabila nama saya diumumkan  pemenang, saya rasa bagai tidak percaya kerana setiap kali menyertai mana-mana cabutan bertuah, nama saya tidak terpilih dan kalau menang tidak mendapat hadiah lumayan seperti ini. Inilah malam paling bermakna, nama terus terpilih dapat sebuah kereta,” katanya ketika ditemui selepas program Malaysiaku Merdeka With Boboiboy, baru-baru ini.

Selain hadiah utama berkenaan pengunjung bertuah juga membawa pulang dua televisyen 32 inci yang  disampaikan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Antara selebriti yang hadir serta membuat persembahan kelmarin adalah seperti Syamel, Sonaone, Joe Flizzow dan Kugiran Masdo.

Dianggarkan 10,000 pengunjung membanjiri Maps  sempena program berkenaan berikutan taman tema itu mengadakan promosi harga tiket RM30 bagi memasuki taman tema berkenaan.

Sementara itu, Mohd Maarof berkata, kereta berkenaan akan digunakannya sebagai kegunaan peribadi.

"Kereta ini dah mencatat kenangan bersama saya. Jadi saya akan terus gunakan dia sebagai kenderaan saya,"katanya.