KAMPAR - Polis Kampar menahan seorang penagih dadah berumur 42 tahun kerana melakukan perbuatan khianat di Balai Polis Gopeng dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata dalam kejadian kira-kira  10.50 pagi  itu lelaki berkenaan datang ke balai tersebut sebelum menendang pintu cermin premis sehingga pecah dan cuba menyerang anggota polis di kaunter aduan.

"Lelaki tersebut masuk ke dalam balai sambil melaungkan beberapa kali kalimah ‘Allahuakbar’ dan mengambil kerusi plastik sebelum mahu menyerang seorang anggota polis yang sedang bertugas ketika itu.

"Anggota polis itu kemudian cuba menangkap suspek sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek kemudian melarikan diri ke arah pintu belakang balai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ng berkata suspek berjaya ditahan oleh beberapa anggota polis dan kini dirawat di Hospital Kampar kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, tangan dan kaki akibat pergelutan semasa ditahan.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek yang juga seorang penganggur positif dadah jenis syabu.

"Kejadian itu menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan di bahagian tangan manakala balai polis polis kerugian hampir RM500," katanya.

Ng berkata kes disiasat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • POKOK SENA - Penduduk di Kampung Menerong, Mukim Derang merayu kepada pihak berkuasa supaya menggiatkan lagi operasi bagi menghapuskan sarang dadah di kawasan itu.
  • DENDONG - Kerajaan negeri sedia membantu golongan bekas penagih dadah untuk terlibat dalam bidang pertanian dalam usaha memberi peluang kepada golongan ini mendapatkan pekerjaan.
  • ALOR SETAR - Seramai 37 penagih dadah ditahan dalam satu operasi dilakukan polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Menerong Empa, mukim Derang, Pokok Sena, hari ini.
  • BUTTERWORTH - Tiga lelaki warga tempatan ditahan polis bersama beberapa paket dipercayai dadah dalam serbuan yang dijalankan di sebuah pondok di Jalan Bagan Belat, Telok Air Tawar semalam.
  • MELAKA TENGAH - "Tolonglah puan, lepaskan saya, kasihan isteri saya sudahlah sarat mengandung, kalau dia tahu saya kena tangkap mesti dia sedih," kata seorang tukang cuci kereta yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka Tengah, disyaki penagih dadah di bekas tapak pelupusan sampah Krubong, di sini, pagi tadi.