IPOH –  Pemuda Umno Perak menyokong cadangan agar pemilihan jawatan tertinggi parti itu dibuat bagi menunjukkan keterbukaan kepada ahli.

Ketua Pemudanya, Khairul Shahril Mohamed berkata, pemilihan terbuka secara tidak langsung akan menggambarkan bahawa Umno adalah sebuah parti yang eksklusif dan relevan kepada semua orang.

Menurutnya,  konsep ‘tidak dipertandingkan’ seolah-olah menggambarkan Umno tidak mengamalkan ruang demokrasi walaupun kepada ahli-ahlinya sendiri.

“Bagi saya, cadangan ini lebih kepada jawatan itu tidak tertutup kepada seseorang, tetapi terbuka.

“Kita pun tidak menghalang individu-individu lain untuk bertanding. Kita tak nak perkara ini seolah kita kekang dan tak ada peluang untuk orang lain.

“Masa sekarang ni pun tak ada siapa nak bertanding Presiden Umno, kecuali Datuk (Seri Ahmad) Zahid (Hamidi). Cuma sistem sekarang ni lebih terbuka berbanding dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairil Shahril berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang  tidak bersetuju jawatan tertinggi parti berkenaan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang, ia dilihat antara penyebab masyarakat hilang kepercayaan terhadap Umno sehingga tewas pada PRU14 lalu.

Dalam perkembangan sama, Khairil Shahril berkata, dalam sistem terbuka berkenaan, sesiapa sahaja yang layak hanya perlu mengisi borang pemilihan.

Bagaimanapun katanya, panel pemilih juga perlulah memastikan hanya mereka yang benar-benar memiliki kredibiliti yang dipilih.

“Kita harap, biarlah pemilihan terbuka itu juga memberi penekanan untuk memilih calon yang benar-benar memiliki kredibiliti. Kalau tak layak, tak payah la nak  bertanding juga,” katanya.