SLIM - Seorang pemandu lori maut manakala kelindannya cedera selepas lori dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 384.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan), semalam.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa, V Ponniselven, 44, berasal daripada Menglembu, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, kelindannya, Mohamad Radzi Aziz, 43, berasal daripada Ulu Kinta mengalami kecederaan di bahagian dada.

“Kejadian berlaku apabila mangsa bersama-sama kelindannya dalam perjalanan dari Ipoh untuk menghantar barang ke Kuala Lumpur.

“Setiba di lokasi kejadian, mangsa yang memandu kenderaan hilang kawalan lalu terbabas dan menyebabkan lori dipandu masuk ke dalam longkang,” katanya di sini, semalam.

Ahmad berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

"Sementara kelindan dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Slim, Jasfian Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.24 pagi semalam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika anggotanya tiba di lokasi, sebuah lori terbabas di sebelah kiri lebuh raya dan seorang mangsa maut dalam kejadian itu.

“Anggota saya yang diketuai Mohd Rosli Ibrahim membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Dalam kejadian itu, mangsa tidak tersepit dan tugas mengeluarkan mangsa dapat dilakukan segera. Operasi tamat pada jam 10.23 pagi tadi (semalam),” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BENTONG - Seorang anggota polis maut manakala seorang lagi anggota cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 41 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuantan menghala ke Bentong di sini, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.