IPOH - Seorang pemandu lori cedera akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam nahas membabitkan kenderaan pacuan empat roda di KM 268 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan di sini, semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Mohd Khamis Harun berkata, 10 anggota termasuk bantuan dari Balai Bomba Ipoh dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.11 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 30-an itu tersepit di tempat duduknya. Operasi mengeluarkan mangsa diteruskan dengan menggunakan pemotong hidraulik.

“Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa lebih sejam dan menyerahkan mangsa kepada Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan awal,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut. Operasi tamat kira-kira jam 12.30 tengahari.