IPOH – Mereka yang ingin berniaga sempena Sukma Malaysia (Sukma) Perak 2018, boleh berbuat demikian di kawasan bersebelahan Stadium Indera Mulia yang dikhaskan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi tujuan berkenaan.

MBI dalam kenyataan kepada Sinar Harian berkata, lokasi berkenaan disediakan demi melancarkan lalu lintas di sekitar pekarangan Kompleks Sukan MBI sepanjang temasya sukan dewi tahunan itu berlangsung mulai 11 hingga 22 September ini.

“Demi melancarkan lalu lintas serta tidak berlaku masalah berkaitan kesihatan yang serius khususnya kepada para atlet, Jawatankuasa Sukma Peringkat Daerah Kinta telah menetapkan lokasi sebelah Stadium Indera Mulia sebagai lokasi bagi peniaga yang berminat untuk berniaga.

“Mereka boleh berhubung terus dengan pihak penganjur iaitu Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Perak, untuk sebarang maklumat lanjut,” kata kenyataan itu.

Untuk rekod, Kompleks Sukan MBI menempatkan beberapa venue Sukma kali ini seperti Pusat Akuatik, Stadium Perak,  Stadium Indera Mulia, Arena Badminton dan Squash serta Stadium Tenis dan Stadium Ragbi, Perak.

Sementara itu, menurut kenyataan itu, MBI kerjasama agar peniaga mematuhi ketetapan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Sukma berkaitan lokasi perniagaan di Kompleks Sukan MBI.

Katanya, MBI sangat menghargai kerjasama daripada peniaga demi memastikan penganjuran Sukma Perak 2018 kali ini adalah penganjuran terbaik dalam sejarah Sukma.

“Untuk makluman juga, MBI turut menyediakan 70 unit gerai di Medan Selera MBI yang baru dinaik taraf dan pasti menjadi tumpuan pengunjung.

“MBI yakin dengan adanya kedua-dua lokasi perniagaan ini akan dapat memenuhi keperluan semua yang terlibat dan pengunjung yang hadir ke acara sukan yang bersejarah di Malaysia ini,” menurut kenyataan itu.