KUALA LUMPUR - Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Bahagian Latihan Bukit Aman, SAC Datuk A. Paramasivam dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu dalam pertukaran melibatkan lapan pegawai kanan polis berkuatkuasa serta merta.
   
Beliau menggantikan SAC Datuk Zakaria Yusof yang bertukar sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan, Maktab PDRM menggantikan SAC Datuk Dr Chai Khin Chung yang bertukar menjadi Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Polis Kuala Lumpur.
   
Ketua Penolong Pengarah Forensik Bukit Aman, SAC Dr Yew Chong Hooi pula dilantik sebagai Komandan Maktab Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, menurut satu kenyataan polis Bukit Aman hari ini.
   
Jawatan yang dikosongkan Yew diambil alih oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC T. Narenasagaran.
   
Pertukaran yang lain ialah Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kuala Lumpur, SAC Datuk Razali Ab Razak menjadi Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman manakala penyandang jawatan tersebut, SAC Datuk Mohd Zulyadaen Ismail bertukar dilantik Ketua Pusat Pengajian Krisis dan Bencana, Maktab PDRM.
   
Penyandang jawatan itu sebelumnya, SAC Mohd Shahrizan Che Mat Din bertukar sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan/Peperiksaan/Strategi Lautan Biru Nasional-NBOS) Bukit Aman.  - Bernama