PARIT- Seorang jururawat desa di Klinik Desa Layang-layang Kiri di sini panik dan terkejut apabila melihat angin bergulung-gulung membawa terbang khemah serta bumbung Tabika Kemas Kampung Selat di sini dalam kejadian petang semalam.

Norazliza Syukor, 39, berkata, ketika kejadian lebih kurang 4.50 petang dia baru selesai memeriksa seorang bayi di klinik berkenaan.

“Ketika itu memang hujan lebat selain guruh serta kilat sabung-menyabung. Saya berada di tepi tingkap selepas selesai memeriksa seorang bayi yang datang untuk pemeriksaan bulanan.

“Tiba-tiba datang angin warna hitam bergulung-gulung lalu menerbangkan bumbung Tabika Kemas yang berada di hadapan klinik sebelum ia turut menerbangkan khemah yang ada di depan tabika itu,” katanya.

Katanya, keadaan waktu itu amat menakutkan sehingga dia melaungkan azan agar keadaan kembali reda.

“Saya memang takut dan panik namun masih sempat melaungkan azan serta menyuruh ibu bayi berkenaan berlindung di dalam satu bilik di klinik ini.

“Lebih kurang sepuluh minit kemudian angin reda dan keadaan kembali seperti biasa namun bumbung tabika itu sudah rosak.

“Saya bersyukur kerana klinik ini tidak ada apa-apa yang berlaku dan jika tidak saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu menghadapinya,” katanya.