KAMPUNG GAJAH – Lebih 100 pelatih, ibu bapa dan tenaga pengajar Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera berhimpun secara aman bagi merayu kerajaan menambah dana latihan bagi mengelakkan pusat berkenaan gulung tikar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak ILKS Bumiputera, Nordin Abdul Malek berkata, demonstrasi secara aman itu dibuat bagi membuka mata semua pihak tentang situasi semasa yang berlaku pada pusat  kemahiran ini memandangkan operasi ILKS Bumiputera sangat kritikal.

Menurutnya, kelemahan tadbir urus dana menyebabkan berlaku ketirisan serius dan akhirnya memberi kesan kepada golongan remaja tercicir yang menjadi pemain utama kepada Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).

“Selama ini ILKS adalah pelengkap kepada sistem latihan negara yang sentiasa menyokong hasrat kerajaan untuk membangunkan latihan kemahiran ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wujud pelbagai masalah yang menyebabkan sebahagian besar ILKS berada dalam keadaan membimbangkan akibat sistem pentadbiran latihan kemahiran yang tidak konsisten selain masalah kuota pembiayaan pelatih yang kian meruncing,”katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nordin, kekurangan dana latihan seperti Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) semakin meruncing sehingga ada sesetengah ILKS hanya mendapat lapan kuota pinjaman pelatih sepanjang tahun ini.

Lebih memeranjatkan, katanya, terdapat berita mengenai penyelewengan dana PTPK sebanyak RM40 juta yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelasnya, ketiadaan hala tuju jelas menyebabkan tiada pihak mahu bertanggungjawab malah peruntukan khas seperti sebelum ini juga gagal disediakan kerana pegawai pelaksana tidak mempunyai terma rujukan kewangan yang membolehkan program Pembangunan Kapasiti ILKS Bumiputera dilaksanakan.

“Sebelum ini wujud dana alternatif yang boleh menyokong ILKS seperti Mara, Felda, Felcra dan lain-lain namun kebanyakan mereka kini memberi tumpuan kepada pusat latihan masing-masing,”katanya.

Justeru itu, Nordin berharap beberapa cadangan yang dikemukakan perlu diberi perhatian seperti meningkatkan kuota pembiayaan pelatih serta merta ILKSB, mewujudkan semula program pembangunan kapasiti ILKS Bumiputera seperti Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia yang pernah diwujudkan pada tahun 2008 hingga 2010.

“Selain itu, memberi peluang kepada ILKSB untuk menjalankan program Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PMVA) swasta Kementerian Pendidikan dengan kerjasama pembiayaan dari PTPK atau Kementerian Sumber Manusia.

“Manakala Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri menjadi sekretariat kepada pelaksanaan Pemerkasaan ILKS Bumiputera,”katanya.

Jelasnya, demonstrasi yang diadakan itu hanyalah permulaan kerana selepas ini ILKS Bumiputera di negeri-negeri lain akan menyuarakan masalah mereka kerana terpaksa berhadapan masalah sama.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :