IPOH - Operasi anak-anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang bermasalah khususnya dari segi pentadbiran tidak akan dihentikan, sebaliknya cuba diselesaikan agar mampu mempamerkan prestasi cemerlang.

Menteri Besar Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri mahu PKNP memberi tumpuan kepada penyediaan infrastuktur untuk menarik pelaburan dalam pelbagai industri.

Katanya, PKNP perlu fokus kepada tujuan asal penubuhan perbadanan itu dengan merancang pembinaan taman-taman industri bagi memastikan pelaburan dapat dipertingkatkan seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

“Ia (taman industri) mestilah dibuat dengan infrastruktur yang baik supaya pelaburan dari luar terutamanya, dapat dibawa masuk ke Perak dengan lebih agresif,” katanya kepada ditemui selepas menghadiri Majlis Jamuan Aidilfitri anjuran PKNP di Sungai Rokam di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, PKNP juga perlu melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dengan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat di negeri ini.

“Saya sudah meminta PKNP supaya tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya sama membantu rakyat yang memerlukan seperti petani serta menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah.

“Ini menjadi kayu ukur yang lebih signifikan kepada pentadbiran sekarang ini, bukannya sekadar memberi fokus mengaut keuntungan besar semata-mata,” katanya. - Bernama