IPOH – Menyandang tugas Exco tidak menjadikan Adun Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kekok walaupun pernah dilantik menteri besar pada pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat, 2008 lalu.

Sebaliknya, beliau akan menggunakan pengalaman yang ada membantu membentuk pengurusan pentadbiran kerajaan yang lebih jitu.

“Semua pembahagian portfolio dilakukan dengan mengambil kira minat dan kepakaran masing-masing, sudah pasti pengalaman yang ada itu akan berikan impak yang baik buat Perak.

“Saya sendiri akan mainkan peranan sebagai pembantu dan penasihat kepada Menteri Besar, pengalaman yang baik kita salurkan agar kita dapat penuhi 10 teras utama dalam manifesto Pakatan Harapan yang ditawarkan,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu mengumumkan 11 portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Mohammad Nizar diberi tanggungjawab mengetuai Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri.

Menurutnya, fokus kini adalah untuk menjadikan bidang pelaburan sebagai satu cabang menambah hasil kerajaan serta meningkatkan peluang pekerjaan khusus untuk generasi muda.

“Ini tanggungjawab berat dan mencabar, tapi saya percaya Perak mempunyai potensi tinggi dalam menarik pelabur asing dan tempatan.

“Oleh kerana saya ada sedikit pengalaman bertemu dengan beberapa potensi pelabur antaranya dari Eropah, China dan India, kita gunakan kebaikan itu untuk menambah lagi peluang pelaburan di sini,” katanya.