IPOH - NGO diharap dapat melaksanakan tanggungjawab menyampaikan maklumat daripada kerajaan dengan memberikan penerangan kepada rakyat.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, badan-badan NGO juga diklasifikasikan sebagai kuasa ketiga dan tidak berpeluang berperanan sebagai badan pelaksana.

“Dahulu, suara ketiga ini tidak diberikan hak sebagai badan pelaksana, tetapi jika dilihat dalam dasar kerajaan khususnya bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, jelas satu transformasi perlu dibuat.

“Namun, hari ini semua perkara yang berlaku dalam negara semuanya dipolitikkan. Oleh itu, NGO kini diberi tanggungjawab untuk beri penerangan kepada rakyat, barulah rakyat lihat sebagai bukan politik, tetapi realiti. Dah sampai masanya ketepikan politik, demi untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Pesta Cahaya 1Malaysia di Dewan Bandaran Ipoh, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur yang juga Pengerusi Ipoh City Watch dan KOHIJAU, Prof Madya Dr. Richard Ng.

Samsudin berkata, peranan NGO sampaikan maklumat, dan akan pastikan rakyat dapat maklumat yang tepat.

"Kalau itu dapat kita lakukan misi Gagasan Amanjaya, akan mudah tercapai,” katanya.

Sementara itu, Richard berkata, beliau berharap kerajaan negeri dapat menunjukkan bahawa sebagai kuasa ketiga, pihak NGO memberikan impak yang besar.

“Kita juga harap bajet untuk bertambah setiap tahun berdasarkan impak menerusi aktiviti-aktiviti yang kita buat,” katanya.