LABU KUBONG - Seorang wanita warga emas maut manakala cucu perempuannya cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di KM 21 Jalan Teluk Intan- Langkap malam tadi.

Kejadian melibatkan sebuah lori satu tan berlaku kira-kira jam 8 malam itu apabila kedua-dua mangsa sedang melintas jalan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Salamiah Basri, 74.

Katanya, hasil  siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori  yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 61 tahun itu dalam perjalanan dari arah Langkap menghala ke Teluk Intan.

“Sampai di lokasi kejadian, mangsa bersama cucunya dikatakan melintas jalan secara tiba-tiba.

“Pemandu lori membrek kenderaannya dan cuba mengelak namun terlanggar mangsa sebelum  lori  yang dipandu terbabas,” katanya.

Mohd Marzukhi berkata, akibat kemalangan itu, pemandu lori tidak mengalami kecederaan manakala wanita warga emas meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.

Katanya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.15 malam tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi  pihaknya mendapati, kanak-kanak perempuan telah dibawa ke hospital dengan bantuan orang awam manakala wanita warga emas terperosok di bawah lori.

“Mangsa yang terperosok di bawah lori tersebut  berjaya dikeluarkan oleh orang awam.

“Pihak kami bertindak memberi rawatan awal terhadap mangsa sebelum menghantar ke hospital dengan menggunakan jentera EMRS,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, ketua operasi dimaklumkan mangsa wanita warga emas disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas ketika menerima rawatan.

Katanya, anggota turut membuat pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan keadaan sekitar kawasan itu selamat.

“Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II,Mohd Hisyam Mohd Noh tamat pada jam 9.17 malam tadi,” katanya.