SLIM RIVER - Hospital Slim River (HSR) akan  menaiktaraf klinik pergigian sedia ada menjadi klinik pergigian berpakar dengan kos perbelanjaan sebanyak RM300,000.

Pengarah Hospital Slim River, Dr Mohd Yassim Abd Rahman berkata, kerja-kerja menaik taraf itu akan dijangkas iap pada akhir tahun ini.

Menurutnya, klinik itu melibatkan Pakar Pergigian Bedah Mulut dan unit baharu iaitu Pakar Pergigian Pediatrik.

“Kami juga akan menempatkan seorang doktor pakar pergigian secara tetap di klinik tersebut apabila ia siap kelak.

“HSR akan memberikan perkhidmatan pembedahan pergigian kepada penduduk di kawasan ini khususnya,” katanya sempena Karnival Kesihatan Hospital Slim River, di sini, Sabtu lalu.

Hadir sama, Adun Behrang merangkap Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim.

Dr Mohd Yassim berkat, penganjuran Karnival Kesihatan  adalah langkah tepat ke arah meningkatkan kesedaran rakyat terhadap penjagaan kesihatan dan kecergasan.

Menurutnya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan  akan terus memainkan peranannya  memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penyakit berjangkit, tidak berjangkit dan gaya hidup sihat.

“Objektif utama  karnival adalah mendidik masyarakat mengenai cara hidup sihat, program ini juga menyebarkan informasi terkini mengenai kesihatan.

“Karnival itu juga dilihat sebagai pemangkin kepada amalan gaya hidup sihat yang perlu diamalkan masyarakat,” katanya.