MANJUNG - Pemilihan kontraktor bagi projek naik taraf Hospital Seri Manjung (HSM) perlulah berkualiti bagi mengelakkan projek tergendala dan menelan kos tambahan.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, perkara asas yang perlu diambil kira adalah pemilihan kontraktor yang berkaliber serta mampu memastikan projek berjalan dengan baik.

"Oleh itu, saya meminta badan kejuruteraan memeriksa kelayakan kontraktor yang memperoleh kontrak ini dengan ketat bagi mengelakkan sebarang kegagalan projek.

"Saya juga berharap agar kontraktor yang dipilih akan menjalankan tanggungjawab dengan berkesan, kerana setiap hari yang bertangguh bakal memberikan impak terhadap pesakit di kawasan ini," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Koo Ham, kerajaan telah pun memperuntukkan sejumlah RM60 juta melalui Rancangan Malaysia ke-10 dan tender rasmi projek naik taraf tersebut telah dilancarkan pada 7 September 2015.

Namun begitu kontraktor yang memasuki tender tersebut tidak dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dia pernah mengajukan masalah ini di dalam Parlimen.

"Soalan ini pernah saya ajukan di dalam Parlimen, dan jawapan bertulis yang diterima melalui Jabatan Perdana Menteri telah pun meluluskan peruntukan baru berjumlah RM73.17 juta pada 7 Mac 2018," katanya.

Tambahnya, rancangan naik taraf HSM yang diumumkan bakal menyaksikan pertambahan Klinik Pakar ENT, Klinik Pakar Pergigian, Klinik Pakar Psikiatri dan kemudahan CT Scan.

Sebelum ini, pesakit perlu dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, bagi mendapatkan rawatan tersebut dan sekiranya projek ini dapat dimulakan dengan segera dengan peruntukan yang mencukupi, ia akan memberikan manfaat yang besar kepada pesakit pesakit di kawasan ini.