TAIPING - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menaik taraf sumber bekalan air dalam usaha membangunkan Pusat Peranginan Bukit Larut.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, usaha naik taraf berkenaan bertujuan untuk memenuhi keperluan asas pelawat dan pelancong yang berkunjung ke bukit peranginan pertama dan tertua di Malaysia itu.

"Kira-kira empat ke lima buah tangki air  besar berkapasiti 3,000 gelen setiap satu dan saluran paip yang baharu akan mula ditempatkan di beberapa lokasi yang strategik di atas Bukit Larut dalam bulan Februari ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Abd Rahim berkata, sistem bekalan air itu dijangka akan berfungsi sepenuhnya pada bulan Mac ini.

"Kerja naik taraf ini adalah salah satu usaha MPT bersama kerajaan negeri Perak dalam menyediakan kemudahan asas yang berkualiti dan cekap kepada pelawat dan pelancong.

"Ia tidak kira sama ada mereka berkunjung secara harian atau yang menginap di Bukit Larut," katanya.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, MPT telah mengemukakan permohonan peruntukan bagi menaik taraf sistem bekalan air di Bukit Larut kepada kerajaan negeri Perak pada tahun 2017 dan telah diluluskan.

"Dengan usaha ini, bekalan air ke banglo penginapan akan disalurkan dengan lebih cekap dan mencukupi untuk keperluan penyewa.

"Sehingga kini terdapat kira-kira lima banglo penginapan yang boleh disewa pengunjung  iatu tiga daripadanya dikawal selia MPT.

"Manakala dua lagi adalah di bawah jagaan pihak swasta," katanya.

Katanya, di samping untuk keperluan penyewa, bekalan air yang bersih dan cekap ini juga dapat membantu operasi cafe di Bukit Larut yang menyediakan perkhidmatan sajian kepada pengunjung.

"Malah ia juga bakal memberi kemudahan untuk kegunaan di tandas awam yang disediakan," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :