PARIT BUNTAR - Tindakan licik sebuah premis menjual pastri di sebuah pasaraya utama di sini menaikkan harga roti selepas perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sifar peratus membawa padah kepada pengusahanya.

Masakan tidak, gara-gara menaikkan harga produk itu sedikit lebih tinggi, premis terbabit dikenakan notis dikeluarkan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Parit Buntar dalam operasi menjejak peniaga menaikkan harga barangan yang sebelum ini dikenakan GST.

Ketua cawangannya, Mat Jidin Hassab berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 21(5) Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Kita telah menjalankan pemeriksaan di 203 premis seluruh daerah Kerian termasuk kedai pemborong plastik, kedai pemborong barangan runcit dan premis pemborong makanan ringan dengan sejumlah 3,420 item disemak tanda harga.

“Daripada pemeriksaan itu, satu notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21(5) AKHAP yang mana pengusaha kedai pastri terbabit diberi satu tempoh masa untuk mengemukakan sebarang dokumen berkaitan,” katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pejabat KPDNHEP cawangan Parit Buntar di sini hari ini.

Mat Jidin berkata berkata, jika pengusaha terbabit gagal mengemukakan dokumen seperti diarahkan dalam tempoh ditetapkan, tindakan bakal diambil di bawah seksyen sama dan kesalahan tersebut boleh didakwa di mahkamah atau dikompaun.

“Secara keseluruhan, kita menerima dua aduan rasmi dan empat pertanyaan daripada orang awam mengenai dakwaan harga barangan dinaikkan peniaga selepas perlaksanaan GST sifar peratus di seluruh daerah Kerian.

“Setakat ini semua peniaga memberi kerjasama. Kita membuat pemeriksaan bukan untuk mencari kesalahan tetapi, untuk mengetahui sama ada barang dijual itu masih mengenakan enam peratus bayaran GST tanpa melupuskan caj cukai itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mat Jidin mendedahkan dua kes tindakan diambil terhadap peniaga yang melanggar akta skim kawalan harga musim perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Menurutnya, dua premis runcit di Bagan Serai didapati melakukan kesalahan tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu terhadap item termaktub dalam skim kawalan harga musim perayaan iaitu bawang putih dan bawang kecil India.

“Berikutan itu, pihak kami bertindak merampas item berkenaan yang bernilai keseluruhan RM712.

“Kedua peniaga terbabit turut dikenakan kompaun berjumlah RM200 dan secara keseluruhan, sejumlah tiga premis borong dan 263 premis runcit diperiksa KPDNHEP sepanjang perlaksanaan skim kawalan harga musim perayaan itu,” katanya.