TAPAH - [VIDEO] Seorang pemandu lori yang menyebabkan kematian sembilan orang dalam kemalangan dekat Mambang Di Awan pada tahun lalu, mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan secara melulu.

Tertuduh, Muhammad Eizat Hazmi, 22, yang hadir memakai baju T-shirt dan berseluar jeans, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian kepada pemandu dan penumpang van bernama Lew San Jau, 32, Cheong Moi, 82, Wong Yok Yen, 61, Cheong Kai Yean, 55, Thong For Thye, 52, Liew Siew Fah, 81, Yow Sam Mooi, 67, Cheong Moy, 68, dan Tang Kam Siew, 73.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di Kilometer 45, Jalan Ipoh-Teluk Intan kira-kira pukul 6.45 pagi, 28 Oktober 2017.

Pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) Pindaan 1999 itu memperuntukkan hukuman penjara mandatori antara dua hingga 10 tahun beserta denda RM5,000 hingga RM20,000 dan lesen memandu boleh digantung, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri sementara tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sadhu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Seorang pengendali majlis mengaku tidak salah di mahkamah majistret, di sini, semalam, atas tuduhan menunggang motosikal dengan gopoh hingga menyebabkan kecederaan ke atas bekas isterinya, minggu lalu.
  • JOHOR BAHRU - Seorang pengurus bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mengucapkan ayat berbaur perkauman kepada seorang pekerjanya, empat bulan lalu.
  • KOTA BHARU - - Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memukul dan menghantukkan kepala hingga isterinya cedera, bulan lalu.
  • SUNGAI PETANI - - Seorang daripada tiga pemilik syarikat menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan menawarkan skim penternakan tanpa kelulusan pada 13 Mei 2009 dan 4 Jun 2009.