GERIK - Seorang murid sekolah rendah maut apabila kereta dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi kereta di Kilometer 53.8 Jalan Raya Timur Barat (JRTB), di sini, pagi tadi. 

Mangsa, Muhammad Ammar Jamsari, 11, meninggal dunia dalam ambulans semasa dikejarkan untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Gerik.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri mengesahkan laporan kejadian ketika dihubungi petang tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda Civic dari arah Jeli ke Gerik hilang kawalan, terbabas dan berpusing sehingga masuk ke laluan bertentangan.

“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Honda Civic (Jeli ke Gerik) dan Naza Ria (Gerik ke Jeli). Insiden itu berlaku di laluan berselekoh. 

“Apabila kereta Honda Civic tiba di tempat kejadian, kenderaan itu hilang kawalan dan berpusing masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta Naza Ria yang berada di laluan tersebut. 

“Pertembungan itu menyebabkan kereta dinaiki mangsa (Muhammad Ammar) remuk teruk di bahagian belakang kiri,” katanya. 

Tambah Ahmad Adnan, mangsa yang berada di bahagian belakang maut manakala penumpang depan kereta tersebut mengalami kecederaan parah dan dirujuk di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Penumpang yang cedera parah merupakan seorang anggota tentera. Pemandu kereta yang bekerja sebagai pemandu lori turut cedera di kepala dan seorang lagi penumpang belakang cedera ringan.

“Pemandu Naza Ria pula tidak mengalami kecederaan. Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.