TAIPING - Sebanyak 13 premis perniagaan dikenakan tindakan sitaan dan rampasan kerana berniaga di kawasan larangan iaitu dengan meletakkan halangan di ruang kaki lima.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Musnarizal Abd Manap berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan dan mendapati ramai peniaga yang bertindak meletakkan barangan mereka melebihi ruang menjaja.

Menurutnya, situasi berkenaan telah mengakibatkan halangan lalulintas kepada orang ramai.

"Kesalahan tersebut dilakukan di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MPT) 1983.

"Dalam pada itu, peniaga berkenaan juga turut melakukan pelanggaran undang-undang bahan niaga di tempat awam iaitu di bawah Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974," katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan Operasi Halangan di Atas Kaki Lima Kedai sekitar Bandar Taiping, di sini semalam.

Tambah Musnarizal, operasi berkenaan melibatkan seramai 14 anggota penguatkuasa MPT termasuk pemandu kenderaan yang membawa barangan telah dirampas.

"Semua barangan tersebut kemudiannya di tempatkan di stor sementara sebelum pemiliknya membayar denda," katanya.

Mengulas lanjut, Musnarizal berkata, para peniaga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dalam syarat perniagaan.

"Antaranya ialah tidak meletakkan halangan di kaki lima premis kerana ia adalah kawasan laluan yang disediakan untuk orang awam," katanya.