TAIPING – Hasil pemeriksaan dijalankan terhadap 40 pokok hujan-hujan atau ‘samanea saman’ di kawasan Taman Tasik Taiping menunjukkan hanya satu pokok mempunyai rongga dan reput melebihi 35 peratus.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, kerosakan tersebut masih dalam kategori sederhana dan memerlukan pemantauan.

Menurutnya, bagi pokok-pokok lain, kerosakan kayu reput dan rongga hanya sekitar dua hingga 35 peratus.

“Daripada keputusan tersebut, jelas menunjukkan bahawa pokok hujan-hujan diperiksa mempunyai kayu yang padat dan kuat menjadikan struktur batang sihat dan tidak berada dalam tahap bahaya mengikut konteks rongga dan pereputan,” katanya pada sidang media selepas Program Maybank Global CR Day 2017, di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Abd Rahim berkata, daripada 40 pokok yang diperiksa, dua daripadanya jenis ‘brazil nu’t dan angsana.

“Pemeriksaan pokok dijalankan secara pemerhatian visual dan menggunakan peralatan khusus bagi mengenal pasti pokok dari segi kesihatan, kesuburan dan keadaan persekitaran tempat pokok tumbuh kerana ia akan mempengaruhi tahap risiko pokok terbabit.

“Pemeriksaan juga akan melihat simptom-simptom kecacatan pada bahagian pokok yang boleh mempengaruhi struktur dalam menentukan tahap risiko pokok,” katanya.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, pemeriksaan tersebut menggunakan Picus Sonic Tomograph, alat yang dapat mengesan bahagian kayu hidup dan kayu reput melalui gelombang bunyi.

“Sistem ini menghasilkan keputusan yang dijana dalam bentuk analisis data komputer termasuk imej 2D dan 3D.

Pihak MPT sentiasa komited dalam melaksanakan usaha-usaha konservasi dan memulihara pokok hujan-hujan yang menjadi ikon bandar Taiping,” katanya

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAIPING - – Sebuah persatuan keagamaan kaum India, di sini memohon pihak Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama (LMS) supaya segera mengeluarkan surat untuk Jabatan Ukur dan Pemetaan bagi membolehkan tanah milik persatuan itu diukur.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.