SLIM RIVER - Kira-kira 10 kakitangan Hospital Slim River, di sini, terpaksa 'dimandikan' menerusi proses menyahcemar bagi memastikan mereka bebas daripada pencemaran merkuri apabila satu termometer pecah di atas lantai di salah sebuah wad, semalama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Jasfian Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.20 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi, wad tersebut telah dikosongkan dan termometer yang pecah masih berada di atas lantai berhampiran katil pesakit.

"Pihak kami juga telah membawa keluar 10 mangsa untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang terkena pencemaran merkuri.

"Anggota kemudiannya memakai pakaian peralatan pelindungan diri (PPE) dan alat pernafasan sebelum masuk ke lokasi kejadian serta melakukan pembersihan tumpahan merkuri," katanya, semalam.

Menurut beliau, anggotanya menabur sulfur pada tumpahan merkuri dan membiarkan ia menyerap sebelum dikumpulkan bersama kaca termometer yang pecah.

Katanya, anggota juga membuat bilasan pada permukaan yang terkena merkuri dengan cecair peluntur sehingga bersih.

Jelasnya, bahan bercampur merkuri itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan lanjut.

"Kami juga membuat semburan air kepada mangsa bagi meneutralkan jika ada merkuri terlekat pada mereka.

"Operasi diketuai Pegawai Bomba Helmi Hafizi Sulaiman bersama enam anggota tamat jam 10.52 pagi tadi (semalam)," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BEHRANG - Warga Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), di sini, gempar selepas berlaku tumpahan merkuri di makmal kejuruteraan awam, semalam.
  • KUALA KRAI - Guru dan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embak di sini, cemas seketika selepas sebatang termometer dalam makmal sekolah itu pecah, semalam.
  • SUNGAI BESAR - "Saya nampak ada seorang mak cik melambai-lambai tangan tunjuk arah belakang lori, sebaik turun dari lori saya terkejut tengok sebahagian padi dah berterabur atas jalan raya," kata Muhammad Nor Aref Mohd Zainal, 23.
  • LIPIS - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Chat, Benta di sini gempar apabila satu unit termometer pecah dan menyebabkan berlaku tumpahan cecair merkuri di makmal sains sekolah itu, semalam.