IPOH – Seorang lelaki yang bekerja sebagai mekanik menyalahgunakan kepakarannya itu dengan mengubahsuai motosikal miliknya jenis Yamaha LC hanya untuk menyertai aktiviti mat rempit.

Lelaki berusia 20 tahun yang bekerja di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) itu bagaimanapun dicekup bersama 37 individu yang lain termasuk dua perempuan dalam Ops Trafik di Jalan Raja Dihilir, di sini, awal pagi tadi.

Operasi kira-kira jam 4 pagi itu disertai lima pegawai dan 29 anggota diketuai Inspektor Nasyrul Ridzuan Abd Razak dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias berkata, dua perempuan berusia 20 dan 21 tahun itu merupakan pembonceng motosikal turut ditahan bersama 36 lelaki lain yang berusia 15 hingga 38 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan samseng jalanan dan dikesan melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Sejumlah 133 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya mengubahsuai kenderaan, tidak mempunyai lesen, nombor plat motosikal tidak mengikut spesifikasi serta tamat cukai jalan.

“Empat yang ditahan merupakan pelajar sekitar Ipoh dan didapati tidak memiliki lesen menunggang motosikal dan berani menunggang dengan pelbagai kesalahan lain,” katanya.

Abdul Rani berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Polis akan melaksanakan operasi ini secara berkala setiap minggu bagi mengurangkan aktiviti samseng jalanan di sekitar bandar raya ini,” katanya.