IPOH - Orang ramai diharap tidak lagi membuat sebarang tuduhan mahupun kenyataan negatif kononnya pusat perniagaan Megoplex akan menamatkan operasinya.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Megoplex, Datuk Mat Ariffin Jaladri berkata, tuduhan berkenaan nyata tidak benar kerana pusat perniagaan berkenaan masih beroperasi sehingga ke hari ini.

Menurutnya, seramai 40 usahawan masih menjalankan operasi perniagaan masing-masing di pusat perniagaan berkenaan.

“Jika ada yang kata, Megoplex ini ditutup dan semua peniaga berpindah ke Silveritage, ia adalah kenyataan palsu dan jika berterusan, kami akan buat tindakan kerana kenyataan  palsu seperti ini cuba tutup periuk nasi kami.

“Telah jelas dinyatakan dalam surat daripada pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang membenarkan usahawan-usahawan di sini meneruskan perniagaan masing-masing. Cuma, bagi peniaga yang nak ke Silveritage, mereka dialu-alukan,” katanya, semalam.

Mat Ariffin berkata demikian bagi mengulas isu yang mengatakan pusat perniagaan berkenaan bakal menamatkan operasinya pada 15 Januari ini dan peniaga-peniaga akan dipindahkan ke Silveritage di kawasan berhampiran.

Dalam pada itu, Mat Ariffin memohon agar kerja-kerja penyelenggaraan, kebersihan serta lif serta fasiliti lain dapat diberikan perhatian oleh pihak PKNP.

Malah katanya, bangunan pusat perniagaan berkenaan yang wujud sejak 1998 juga perlu dicat baharu selaras dengan statusnya sebagai satu-satunya pusat perniagaan yang menempatkan usahawan-usahawan bumiputera di bawah satu bumbung.

“Di sinilah bangunan yang menempatkan usahawan bumiputera, Melayu Islam di Ipoh. Ia telah wujud sejak 1998.

“Oleh itu, kami mohon agar kami memohon agar infrastruktur bangunan ini dapat ditambah baik khususnya di segi penyelenggaraannya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :