IPOH - Kerajaan Pakatan Harapan Perak, hari ini mengumumkan 11 portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas 10 Adun mengangkat sumpah lantikan di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Sabtu lalu.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu memegang portfolio Kewangan, Keselamatan, Tanah, Badan Berkanun (GLC), Sumber Asli dan Perancangan Ekonomi.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Faizal berkata, semua rakan parti dalam barisan Exco telah berpuas hati terhadap penetapan portfolio masing-masing.

Menurutnya, barisan Exco yang dilantik ini akan bekerja sebagai satu pasukan dengan mengamalkan sikap saling menasihati.

“Bukan semua orang tahu semua perkara, tetapi kita akan sentiasa ingat mengingati dan tegur menegur, ini satu amalan yang kita buat.

“Harapan kita kini adalah untuk fokus kepada setiap tawaran yang dibuat kepada rakyat, kita perlu pastikan janji itu dapat dipenuhi dalam jangka masa lima tahun ini,” katanya.

Portfolio Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan dipegang Adun Manjoi, Asmuni Awi (Amanah).

Wakil rakyat DAP, Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong pula mengetuai Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu sementara Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari (PKR) memegang portfolio Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diberi kepercayaan untuk memegang portfolio Pelaburan dan Pembangunan Koridor.

Calon Melayu DAP yang juga Adun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari pula bertanggungjawab terhadap portfolio Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan.

Adun Sungkai, A Sivanesan yang dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri selepas pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat lalu memegang portfolio Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia.

Satu-satunya Exco Wanita, Wong May Ing (DAP-Pantai Remis) diberi tanggungjawab menjaga portfolio Pembangunan Sahsiah, Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat.

Sementara tiga wakil rakyat muda iaitu Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing (PKR) memegang portfolio Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan; Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim (Amanah) bagi portfolio Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, akhir sekali Adun Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How (DAP) dilantik Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan.

INFO

Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak

Ahmad Faizal Azumu

(Menteri Besar merangkap Exco Kewangan, Keselamatan, Tanah, Badan Berkanun (GLC), Sumber Asli dan Perancangan Ekonomi)

Asmuni Awi

(Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan)

Paul Yong Choo Kiong

(Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu)

Abdul Yunus Jamhari

(Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan)

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin

(Exco Pelaburan dan Pembangunan Koridor)

Dr Abdul Aziz Bari

(Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan)

A Sivanesan

(Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia)

Wong May Ing

(Exco Pembangunan Sahsiah, Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat)

Tan Kar Hing

(Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan)

Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim

(Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi)

Howard Lee Chuan How

(Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan)