IPOH - Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menolak semua usul dicadangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) oleh Maju Perak Holdings Berhad, yang berlangsung hari ini.

PKNP adalah pemegang saham terbesar dalam Maju Perak.

Ahmad Faizal berkata, beliau mengambil maklum hasrat Maju Perak yang bercadang meluluskan usul melantik semula tiga pengarah selain mengekalkan pengarah bukan-eksekutif.

“Dalam mesyuarat itu juga, mereka (Maju Perak) bercadang untuk meluluskan pembayaran RM386,250 Fi Pengarah bagi laporan kewangan berakhir 31 Disember 2017.

“Meluluskan imbuhan pengarah kepada pengarah-pengarah bukan-eksekutif dengan nilai mencecah RM150,000 dari 28 Jun sehingga AGM yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata, pengarah Maju Perak tidak wajar menerima bayaran fi yang besar berikutan prestasi yang mendukacitakan dalam laporan kewangan tahun lepas apabila mencatatkan kerugian bersih RM11.01 juta yang dicatatkan pada laporan tahunan sama.

Malah untuk imbuhan bagi tahun kewangan 2018, ia mestilah mencerminkan keadaan semasa yang serba mencabar, katanya.

“Khidmat pengarah sedia ada juga tidak sepatutnya disambung bagi memberi laluan kepada perubahan yang selari dengan polisi pentadbiran baru yang memberi keutamaan memulihkan syarikat berkaitan kerajaan negeri yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi PKNP berkata, PKNP yang memiliki saham majoriti dalam Maju Perak menolak semua usul berkenaan demi kepentingan kerajaan Perak dan rakyatnya.

Maju Perak adalah syarikat pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor perumahan dan hartanah bagi Kumpulan PKNP. - Bernama