IPOH – Seorang wanita warga emas berusia 63 tahun yang tidak hadir aktiviti poco-poco selama dua hari ditemui mati dalam bilik air rumahnya di Taman Pengkalan Jaya di sini, malam kelmarin.

Jiran yang bimbang dengan keadaan mangsa yang tinggal sendirian setelah pintu rumahnya berkunci bertindak menghubungi ahli keluarganya bagi memaklumkan perkara itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, laporan diterima dari ahli keluarga bagi meminta bantuan selepas mangsa gagal dihubungi.

“Mangsa ditemui dalam bilik air dalam keadaan terduduk di mangkuk tandas dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur-unsur jenayah berlaku dan dipercayai mangsa meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi. Ahli keluarga turut membuat laporan tidak mahu bedah siasat dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ahmad Tarmizi Hassan berkata, lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan dari pihak polis kira-kira jam 9.03 malam.

“Anggota menggunakan gergaji untuk memotong jeriji pintu rumah mangsa dan pemeriksaan pihak polis menemui mangsa dalam keadaan terduduk dalam tandas.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat kira-kira jam 10.15 malam,” katanya.