KERIAN - Mayat seorang lelaki yang hampir reput dan berulat ditemui di dalam kawasan paya bakau di Parit Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang di sini.

Mayat tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemui seorang pencari ketam berusia 58 tahun kira-kira jam 8 pagi sebelum melaporkan penemuan itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, sepasukan anggotanya diarah ke lokasi berkenaan bagi melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan menemui satu mayat yang sudah berbau tidak berpakaian tetapi hanya berseluar dalam. Mayat ditemui dalam keadaan tertiarap di atas lumpur.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai dan identiti si mati tidak dapat dikenalpasti sama ada orang tempatan atau asing memandangkan wajah telah mulai reput,” katanya.

Menurutnya, tiada sebarang senjata ditemui di kawasan berhampiran manakala pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang kesan yang menunjukkan unsur-unsur jenayah.

“Mayat dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat adalah ‘unascertained’ disebabkan ‘adipose body’.

“Identiti dan jangka umur mayat tidak dapat dikenalpasti. Sampel tulang dada telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.