$entry.content.caption.value
TAIPING – Kegiatan mat rempit yang semakin menular di jalan perumahan, di sini, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Justeru, penduduk memohon agar bonggol dibina bagi mengurangkan kegiatan tidak bermoral itu.
Adun Kuala Sepetang, Tai Sing Ng berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk Taman Mewah mengenai kekurangan bonggol sepanjang satu kilometer di Jalan Mewah Utama, di sini.
Menurutnya, akibat masalah itu, ia menggalakkan kumpulan mat rempit berlumba ketika melalui jalan berkenaan.
“Keadaan ini jika dibiarkan boleh menjadi kebiasaan kepada mereka untuk merempit di jalan ini.
“Bukan hanya berbahaya ia juga mendatangkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman penduduk terutama mereka yang mempunyai anak kecil,” katanya.
Beliau berkata, kegiatan itu perlu dibendung segera kerana boleh memberi kesan kepada golongan belia di taman berkenaan untuk turut sama merempit.
Katanya, diharap pihak berkenaan dapat mengambil perhatian terhadap masalah itu seterusnya membina bonggol bagi mengelakkan mat rempit berlumba di jalan tersebut.
“Bonggol yang dibina adalah sebagai salah satu langkah keselamatan supaya kenderaan lain tidak memandu melebihi had laju yang ditetapkan,” katanya.





