LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan dua warga asing yang bekerja sebagai nelayan tanpa kebenaran dalam satu rondaan kira-kira 5 batu nautika dari barat laut Pulau Talang, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kedua-dua lelaki warga Myanmar yang merupakan tekong dan awak-awak ditahan menggunakan bot nelayan tempatan berpengkalan di Pantai Remis.

"Bot berkenaan dikesan sepasukan anggota bot ronda Maritim ketika melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negeri sekitar jam 1 pagi tadi.

"Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang lelaki warga Myanmar berusia 34 tahun memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) manakala seorang lagi berusia 23 tahun tiada dokumen pengenalan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya bot bersama dua pekerja warga asing itu diiringi ke Pusat Tahanan Vesel, Kampung Baru Sitiawan bagi menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

"Maritim memandang serius terhadap kesalahan di laut serta akan bertindak tegas kepada vesel yang melanggar peraturan dan undang-undang di laut," katanya.