IPOH - Kerajaan negeri diminta menjelaskan status semasa Taman Tema Animasi Studio (MAPS) yang kini dikatakan bakal berdepan masalah selepas salah satu syarikat yang mempunyai pegangan dalam taman tema itu berdepan tindakan mahkamah.

Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, satu perintah penggulungan syarikat oleh Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur terhadap The Sanderson Design Group (Malaysia) Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai Daya Sejahtera Sdn Bhd dengan seorang juru liquidasi telah dilantik mengambil alih pengurusan syarikat itu.

Menurutnya, The Sanderson Design Group (Malaysia) Sdn Bhd merupakan syarikat kontraktor utama bagi MAPS yang mempunyai pegangan 70 peratus dalam RSG MAPS Sdn Bhd.

“RSG MAPS Sdn Bhd memiliki 49 peratus pegangan di dalam Animation Theme Park Sdn Bhd yang membangunkan MAPS manakala pegangan selebihnya dikuasai oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu PCB Development Sdn Bhd,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Pejabat DAP Perak, di sini, semalam.

Koo Ham berkata, apa yang menimbulkan persoalan adalah kemungkinan sebahagian besar taman tema yang masih belum beroperasi mempunyai kaitan dengan tindakan mahkamah tersebut.

Katanya, sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak yang memiliki PCB Development Sdn Bhd, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir perlu menjawab persoalan ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak mahu taman tema tersebut bakal membawa kerugian ratusan juta ringgit kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, Animation Theme Park Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini menjelaskan keadaan terkini syarikat Daya Sejahtera Sdn Bhd tidak pun menjejaskan operasi MAPS.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Farid Abdul Aziz berkata, pihaknya mengambil langkah tertentu bagi melindungi kepentingan mereka.

“Kita ambil maklum kenyataan parti tersebut dan mengharapkan mana-mana parti yang mengambil berat perkembangan MAPS mengetahui perniagaan kami dalam jangkamasa panjang,” katanya.