TAPAH - Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dengan kerjasama Fakulti Perakaunan (FP) dan Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Tapah melancarkan Program Sekolah Angkat dan Program Mentor Mentee bersama Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti (SKTTS).

Pengarah projek, Zaaba Ahmad berkata, program bertujuan membantu pelajar di sekolah dari aspek akademik terutamanya untuk mata pelajaran bahasa Inggeris.

Katanya, beliau berharap agar program mentor dan mentee ini akan menjadi pemangkin dalam mewujudkan satu kerjasama yang baik di antara kedua-dua belah pihak.

“Pada kali ini, 32 penuntut UiTM  pelbagai fakulti dipilih bagi membantu 32  murid Tahun Lima  dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.

“Dalam tempoh yang sama, seramai 16 pensyarah pula akan menjadi

pemantau bagi memastikan keberkesanan dan kelancaran perjalanan program,” katanya.

Hadir sama, Penolong Rektor UiTM Kampus Tapah, Dr Mohamed Imran; Guru Besar SKTTS, Alias Hamid dan ketua Fakulti dari UiTM  Kampus Tapah.

Zaaba berkata, penuntut yang terlibat disarankan untuk bukan sahaja membantu murid ini dalam penguasaan bahasa Inggeris malahan juga untuk menjadi inspirasi dan contoh yang baik dalam mengejar cita-cita mereka ke menara gading kelak.

“Kaedah lama menulis surat secara pen-pal akan digunakan bagi memupuk minat pelajar menulis dan lebih memahami bahasa Inggeris,” katanya.