HULU KINTA - Manifesto BN Perak yang dijadualkan diumumkan pada Rabu ini ditunda pada Sabtu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perubahan tarikh itu bagi memberi laluan kepada program Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari berkenaan.

“Pada peringkat awalnya, kita mencadangkan ia dilancarkan pada hari Rabu memandangkan Perdana Menteri akan berada di Perak maka pelancaran itu dianjakkan.

“Setakat ini, pelancaran manifesto ini dijangka diadakan pada Sabtu ini. Kami mohon maaf atas kesulitan itu,” katanya kepada media pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Perak bersama warga kerja Jabatan Kesihatan Negeri di Kolej Sains Bersekutu di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Zambry menegaskan bahawa manifesto yang bakal dilancarkan itu bukanlah bersifat menabur janji semata-mata.

“Kita telah mengurus dan menyediakan manifesto yang praktikal, ‘real’ dan bukan hanya janji-janji yang sekadar untuk menang.

“Sudah pasti akan ada elemen baharu dalam manifesto termasuk berkaitan dengan dasar-dasar, hala tuju dan masa depan negeri dan sebagainya,” katanya.