BIDOR - Pemandu kereta jenis  Perodua Alza yang terlibat dalam kejadian kemalangan di KM di KM347.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, petang semalam, disahkan  meninggal dunia, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa dikenali sebagai Nor Azirah Abdul Rani, 39, beralamat di  Jitra, Kedah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Slim River pada lebih kurang jam 10.20 malam tadi .

“Bedah siasat akan dijalankan ke atas jenazah mangsa bagi mengenalpasti punca kematian pada jam 12.30 tengahari tadi.

“Setelah selesai bedah siasat, jenazah akan diserahkan  kepada keluarga mangsa untuk  urusan pengebumian,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kejadian seorang kanak-kanak  lelaki berusia tujuh tahun antara tiga cedera parah dalam kejadian kemalangan  di KM347.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 petang  kelmarin itu berhampiran susur masuk kawasan Rawat dan Rehat (RnR) Ladang Bikam turut mengakibatkan tiga lagi mangsa mengalami kecederaan ringan dan seorang terselamat.

Mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Nor Azirah Abdul Rani, 39; Abdul Rani  Mustapha, 73, dan Muhammad Amsyar Qushairi, 7.

Mangsa yang cedera ringan dikenali sebagai Muhd Afifan Solehuddin, 16, Che Puan Hassan, 72,  dan Muhammad Naufal Ajmal, 12 tahun.

Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dalam perjalanan masuk ke dalam RnR sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lori yang  diletakkan di tepi susur masuk kawasan RnR oleh pemandu.

Som Sak berkata, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan parah dan ringan masih mendapatkan rawatan di Hospital Slim River.