TAIPING - Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang sejak sejak 16 Februari lalu tampil ke Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, lelaki berusia 38 tahun itu pada awalnya dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat menaiki motosikal keluar rumah di Batu 47, Jalan Baru Bukit Gantang, di sini, tanpa memberitahu ibunya.

Katanya, pencarian dilakukan sejak pagi semalam dalam lingkungan 3 hingga 4 km dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

“Pencarian dilakukan bersama-sama pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung.

“Bagaimanapun pencarian dihentikan selepas mangsa tampil memberitahu dirinya individu yang sedang dicari, sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu maklumat kepada media pagi ini.

Menurutnya, operasi pencarian yang diketuai Rafeel Hairul Richard itu ditamatkan pada 1.17 pagi tadi.