IPOH - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menganggap cadangan pemakaian seragam oleh guru yang tular di media sosial bukan satu masalah besar untuk dipatuhi.

Pengarahnya, Datuk Mat Lazim Idris berkata, sekiranya cadangan itu diterima kementerian, warga pendidik akan bersikap terbuka mengenai perkara itu.

“Mana yang diarahkan  terbaik, kita akan laksanakan, kita berikan kerjasama, setakat ini, tiada sebarang arahan dikeluarkan daripada pihak kementerian berhubung perkara berkenaan,” katanya sempena Program Masak dan Agihan Bubur Lambuk Kelab JPN Perak bersama Nestle di Dataran Atrium, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan di laman sosial yang mencadangkan seragamkan pakaian tenaga pengajar yang tular sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Mat Lazim menyokong penuh pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan yang baharu.

Malah katanya, JPN Negeri juga akan menyambut baik cadangan-cadangan yang bakal dibawa oleh Dr Maszlee kelak.

“Kita ucapkan tahniah atas pelantikan beliau dan kita alu-alukan apa yang akan dibawa kelak. Kita sokong penuh,” katanya.

Terdahulu 100 peket bubur lambuk diedarkan kepada kakitangan JPN termasuk warga media.

Hadir sama, Pengurus Persampelan dan Penajaan Nestle Wilayah Utara, Mohd Ismail Osman.