IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), berharap dapat membantu melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan asnaf pada masa hadapan menerusi program-program pemerkasaan ekonomi bersama golongan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPk,  Datuk Dr Amiruddin Muhamed berkata, program-program yang dilaksanakan bersama golongan asnaf selama beberapa tahun sebelum ini berjaya melahirkan ramai usahawan yang berjaya.

Justeru menurutnya, program-program berkenaan akan diteruskan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan daripada golongan asnaf negeri ini dan sekali gus membantu  mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

“Program-program ini sangat berjaya. Pada 2017 lalu ada 100 lebih asnaf yang dah keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Melihatkan kejayaan ketara setiap tahun kita tambahkan lagi peruntukan. Kita boleh tambah bilangan asnaf dan  mungkin pada masa hadapan taraf kemiskinan di negeri  ini berada pada tahap paling minimum. Itu harapan kita,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian dan Penyerahan Bantuan Modal Perniagaan Usahawan Asnaf Maipk 2018 di Dewan Al-Ghazali Kompleks Islam Darul Ridzuan (KIDR), baru-baru ini.

Difahamkan pada program berkenaan, bantuan modal berjumlah RM820,000 diagihkan kepada 80 asnaf dari sekitar negeri.

Sementara itu Amiruddin berbangga dengan kejayaan yang dikecapi golongan asnaf berkenaan dalam bidang perniagaan yang diceburi.

Malah katanya, ada asnaf yang kini dijadikan anak angkat oleh agensi-agensi besar seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Jabatan Perikanan dan lain-lain.

“Sebenarnya program ini adalah kesinambungan program tahun lepas dan ini tahun keempat  kita anjurkan program ini dan sekarang ni ada yang dah berjaya dan jadi anak angkat angensi-agensi seperti Fama, perikanan serta agensi-agensi di bawah Mara.

“Mereka dah jadi usahwan, buka kedai dan lain-lain. Tetapi asalnya mereka berasal daripada program asnaf ini dan mereka kembali membayar pula zakat. Ini cukup menggembirakan kita semua,” katanya.