GERIK - Persatuan Anak Gerik di Perantauan (Pagar) mengambil inisiatif menubuhkan Pagar Emergency Response Team (Pertama) dalam usaha membantu rakyat Gerik ketika menghadapi bencana.

Pengerusinya, Tajuddin Mohd Ali berkata, mereka menubuhkan Pertama atas dasar ingin menambah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam bantuan banjir.

Menurutnya, banyak agensi dan NGO sebelum ini di bawah kuasa atau pengaruh politik parti memerintah namun Pagar bersifat neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Kita juga mahu isu banjir yang berlaku setiap tahun dapat diselesaikan dengan baik. Sebelum ini mungkin ada perkara kurang diberi perhatian.

“Mungkin juga ada pihak menganggap isu banjir di Gerik ini perkara remeh. Jadi, pertama akan cuba bangkitkan isu ini dan membantu mangsa bencana dalam masa sama.

“Pertama pasti akan menjadi agensi disegani selepas ini atas dasar lebih mementingkan rakyat, sama juga yang berlaku dengan Pagar. Sama-samalah kita doakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai perlawanan amal bola sepak melibatkan anak Hulu Perak di Padang Bandaran Gerik, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, beliau berharap masyarakat di Gerik menyambut baik niat murni ini agar Pagar boleh terus menjadi NGO yang dekat dengan masyarakat.

“Dengan sokongan pelbagai pihak, Pertama akan menjadi kumpulan sukarela yang terus membantu orang awam. Jika bertambah baik, Pagar tidak ragu-ragu mempelawa bukan ahli untuk menyertai misi Pertama.

“Setiap agensi atau pertubuhan mempunyai tugas serta tanggungjawab masing-masing. Justeru, tidak salah untuk memperbanyakkan bantuan kemanusiaan.

“Sekiranya setiap kumpulan bersatu-padu ketika situasi getir maka Pagar yakin ia lebih membawa kebaikan terhadap setiap misi bantuan dijalankan kelak,” ujarnya.