BOTA - Bangunan sudah siap namun bayaran penuh masih tidak berjaya dilunaskan. Itulah situasi yang terpaksa dilalui oleh pihak pengurusan Madrasah Tahfiz Al-Quran Tuan Guru Haji Abd Ghani, Kampung Seri Kaya Bota Kiri yang tidak mempunyai dana mencukupi bagi membuat bayaran kepada pihak kontraktor.

Pengerusi madrasah, Shihabudin Alang Mat Piah berkata, mereka masih memerlukan sebanyak RM500,000 bagi melunaskan bayaran kepada pihak kontraktor yang membina bangunan fasa kedua madrasah itu.

Menurutnya, bangunan yang menempatkan bilik darjah, asrama pelajar, rumah guru, rumah warden, dewan, bilik koperasi dan bilik guru itu telah siap 98 peratus namun bayaran penuh masih berjaya dilunaskan.

“Bangunan ini berharga RM2.3 juta dan kita sudah berjaya membayar sebanyak RM1.8 juta jadi bakinya lebih kurang RM500,000 lagi belum dibayar.

“Jadi kami amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi untuk menghulurkan sumbangan atau dana atau membantu dalam bentuk wakaf kepada madrasah ini,” katanya.

Katanya,  madrasah itu juga mempunyai kelulusan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menerima sumbangan daripada mana-mana pihak yang mahu mendapat pengecualian cukai.

“Kami ada kelulusan dari LHDN bagi mereka yang mahu mendapatkan pengecualian cukai.

“Jadi kami amat berharap agar mana-mana pihak tidak kira individu, syarikat korporat atau sebagainya untuk memberi sumbangan bagi membantu melunaskan bayaran ini,” katanya.

Shihabudin berkata, madrasah itu kini mempunyai seramai 66 pelajar dan mereka sudah menggunakan bangunan baru itu sejak awal Februari lalu.

Pelajar terpaksa belajar sambil bersila kerana bangunan baru masih tidak ada kelengkapan perabot

“Namun begitu, kami tidak dapat menggunakan sepenuhnya kerana kelengkapan seperti kerusi, meja, almari dan pelbagai perabot lain masih tidak lengkap.

“Sekarang pelajar hanya belajar secara bersila sahaja dan kami juga harap ada pihak yang boleh membantu memberi sumbangan dari segi perabot.

“Boleh dikatakan madrasah ini berjaya dibangunkan adalah hasil sumbangan orang ramai dan saya amat menghargai segala bantuan serta sumbangan yang telah dihulurkan sebelum ini,” katanya.

Katanya, madrasah itu boleh dijadikan sebagai contoh pusat tahfiz moden kerana mempunyai bangunan yang lebih sesuai serta cantik.

“Kita mengalukan sesiapa sahaja untuk datang termasuklah kepimpinan setempat serta negeri bagi melihat sendiri pusat tahfiz ini supaya mereka dapat melihat sendiri usaha yang telah kita lakukan.

“Saya cuba sedaya-upaya untuk menjadikan pusat tahfiz ini sebagai pusat tahfiz moden yang bukan lagi beroperasi di bangunan lama atau bangunan yang tidak selamat,” katanya.

Bagi mereka yang mahu menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun tabung pembangunan madrasah Tuan Guru Haji Abd Ghani, 08086010022159 (Bank Islam) atau 558118512600 (Maybank) atau boleh menghubungi talian 0194525899.