TAIPING – Longgokan sampah di jalan menuju Taman Long Jaafar, di sini, kini semakin menggusarkan penduduk sekitar apabila ia menjadi tempat anjing liar mencari makanan.

Penduduk, K Rama, 43, berkata, setiap hari dia melalui jalan itu untuk pulang ke rumahnya atau ke kedai berhampiran.

Menurutnya, longgokan sampah itu sentiasa ada tanpa mengira masa dan mendapati sampah berkenaan sentiasa ada tanpa mengira masa.

“Keadaan ini menyebabkan binatang liar seperti anjing berkeliaran mencari makanan, malah binatang liar ini semakin banyak sehingga mampu menakutkan pengguna yang melalui jalan ini,” katanya.

Rama berkata, bukan hanya sampah domestik yang dibuang malah perabot lama atau rosak juga dibuang di kawasan itu.

“Sekiranya dibiarkan begitu sahaja, pelbagai kesan negatif timbul akibat sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak,” katanya.

Katanya, diharap penduduk atau sesiapa sahaja sedar dengan tindakan mereka membuang sampah sesuka hati.

“Pihak berkenaan juga perlu memantau kawasan ini supaya lebih bersih dan bebas daripada anjing liar,” katanya.