IPOH - Remaja perempuan yang dilaporkan meninggal dunia ketika melahirkan bayi lelaki, dipercayai menanggung kesakitan lebih lima jam dalam tandas di rumahnya di Taman Kerian Permai, semalam

Mangsa yang berkurung dalam bilik air sejak jam 8.30 pagi ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya kira-kira jam 2 petang selepas berjaya memecahkan pintu tandas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, kedua-dua mereka bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati anak kelima dari enam beradik itu sempat mengadu sakit perut sebelum meminta kebenaran ibunya untuk menggunakan tandas di bilik tidur utama.

“Ibunya memanggil anaknya selepas 30 minit dalam bilik air tetapi mangsa beritahu dia sembelit. Sekali lagi ibunya memanggil pada jam 10 pagi, mangsa membalas masih belum siap,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu berlarutan sehinggalah mangsa tidak memberi sebarang jawapan ketika dipanggil oleh ibu dan adiknya.

“Ibunya memecahkan pintu tandas tersebut dan mendapati mangsa tersandar di dinding dalam keadaan pucat lesi dan berlumuran darah.

“Ketika menghubungi talian kecemasan 999, ibunya terlihat objek dan darah dalam mangkuk tandas dan rupa-rupanya objek itu adalah bayi yang tidak bergerak. Pihak perubatan mengesahkan kedua-dua mereka meninggal dunia,” katanya.

Terdahulu, Ketua Umno Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali menziarahi keluarga mangsa yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Buntar bersebelahan Masjid Daerah Kerian petang ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang remaja berusia 18 tahun meninggal dunia ketika bersalin di rumahnya di Taman Tenggara di Parit Buntar, dekat sini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Remaja dipercayai baru lahirkan anak ditemui mati]